ما مات من أحيا علما ولا افتقر من ملك فهما

"Tidak akan mati sesiapa yang menghidupkan ilmu dan tidak akan faqir sesiapa yang memiliki kefahaman"

(Saidina Ali bin Abi Talib kw.)

Thursday, September 16, 2010

Sistem Pembelajaran

Sistem pengajian di Pondok Pasir Tumboh terbahagi kepada 2, iaitu:

Pertama: Pengajian Umumi (pelajar diberi kebebasan memilih mata pelajaran yang hendak diikuti)

Pengajian umumi merupakan pengajian sebenar bagi cara tradisional pondok. Ia merupakan kelas terbuka dan dibenarkan kepada semua pelajar untuk mengikutinya. Di samping pelajar, masyarakat luar juga datang untuk menimba pelajaran samada mereka yang tinggal dekat atau berjauhan dengan pondok. Pengajian ini berjalan hampir sepanjang masa daripada selepas Subuh sehingga ke tengah malam, melainkan pada waktu solat.

Kedua: Pengajian Nizami (secara kelas mengikut  tahap kemampuan pelajar).

Para pelajar telah diatur dan ditetapkan pada kelas-kelas yang tertentu mengikut tahap kebolehan dan keupayaan masing-masing. Kelas ini hanya berlangsung setiap hari daripada pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi, melainkan pada hari Jumaat dan Selasa. Pelajar-pelajar bebas mengikuti kelas umumi selain daripada waktu ini.

Kitab-kitab Pengajian
Kitab-kitab yang digunakan adalah kitab tua (turath) jawi dan Arab yang disusun dan dikarang oleh pengikut mazhab Asy-Syafi'i dan lain-lain mazhab yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Mata Pelajaran Yang Diajar:
Tauhid, Fiqh, Tasawwuf, Nahu (tatabahasa Arab), Sorof, Tajwid, Balaghah (sastera Arab), Usul Tafsir, Mustolah Hadith, Usul Fiqh, Mantiq, Tafsir, Hadith, Sirah dan lain-lain.

Matlamat Sistem Pengajian Pondok Pasir Tumboh

 

1. Menjadikan pondok sebagai pusat pengajian Islam secara teori dan praktikal.
2. Mencari keredhaan Allah serta menghapuskan kerosakan akhlak.
3. Melahirkan generasi berilmu beramal, berani dan bertaqwa.
4. Melahirkan pelajar mahir serta memahami  secara mendalam ilmu agama dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup.

Pondok Pasir Tumboh

Sejarah penubuhan Pondok Pasir Tumboh

Pondok ini dinamakan Al-Madrasah Ad-Diniyyah Al-Bakriyyah yang juga dikenali dengan nama Pondok Terusan Limbat, Pasir Tumboh.

Ia terletak kira-kira 11 km dari Bandar Kota Bharu dan jaraknya dari jalan utama Kota Bharu-Pasir Puteh pula ialah sebanyak 1 km. Pondok ini juga berdekatan dengan perumahan Desa Darulnaim dan juga MRSM Pasir Tumboh.

Ia ditubuhkan pada 1954M oleh 2 orang adik beradik iaitu Tuan Guru Hj Mustafa b. Abu Bakar dan adiknya Tuan Guru Hj Abdul Aziz. Setelah pulang ke tanahair pada tahun 1953 daripada pengajian mereka di Makkah, mereka mulai mengajar di atas balaisah kepunyaan ayahandanya.
Pada tahun 1954, dengan usaha mereka bersama bapa sepupunya Hj Yazid b Hj Yaakub b Hj Ghani, Penggawa dan orang-orang kampung maka sebuah madrasah untuk tempat berjemaah dan belajar berjaya dibina. Ia dinamakan Al-Madrasah Ad-Diniyyah Al-Bakriyyah sempena nama ayahanda tercinta.

Pada peringkat awal penubuhannya, bilangan pelajar (lelaki) hanya 50 orang sahaja. Pengajian dijalankan disebuah madrasah kayu yang berukuran 40 x 30 kaki.

Pada tahun 1984, Tuan Guru Hj Mustafa telah meninggal dunia dan diikuti oleh adiknya pada tahun 1987. Adik ipar mereka, Tuan Guru Hj Hashim b Abu Bakar telah menggantikan tempat mereka sebagai Mudir Madrasah. Sehinggalah sekarang beliau merupakan antara ulamak tertua yang masih lagi ada di negeri Kelantan ini.

Generasi demi generasi silih berganti, hinggalah ke hari ini, dengan izin Allah, madrasah ini telah melahirkan  ramai tokoh ulamak pendokong utama Ahli Sunnah Wal Jamaah, alhamdulillah.



Wednesday, September 15, 2010

Mengenali IJAS


· IJAS merupakan singkatan bagi Ikatan Jamaah Anak-anak Selangor dan Kuala Lumpur. Ia ditubuhkan bagi menjaga kebajikan pelajar-pelajar Selangor dan Kuala Lumpur yang sedang mengikuti pengajian di Pondok Pasir Tumboh.
· Pada tahun 2001, sebuah asrama batu bagi menempati pelajar Selangor dan Kuala Lumpur berjaya disiapkan hasil usaha ahli-ahli IJAS dan sumbangan kewangan daripada penduduk negeri Selangor, Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain.
· Antara aktiviti IJAS ialah mengadakan program Maulidurrasul, perkhemahan pelajar, program Baraan, program tarbiyah dan pendidikan bagi ahli persatuan khususnya dan pelajar-pelajar lain.